Friday, January 21, 2011

jAngan LupA yANG 'ASLI'

Apabila kita melihat sinetron Indonesia, jarang sekali kita mendengar para pelakonnya mencampuradukkan bahasa Indonesia mereka sendiri dengan bahasa Inggeris, berbanding dengan filem dan cerekarama Malaysia yang selalu bersiaran di TV3 dan Astro khususnya, memang jelas sekali kita dapat mendengar para pelakonnya mencampuradukkan bahasa Melayu itu sendiri dengan bahasa Inggeris. Kadang-kadang penggunaan bahasa Inggeris itu sendiri lebih banyak berbanding penggunaan bahasa Melayu dalam lakonan tersebut, misalnya dalam filem “Sepet”. Maka, dapat kita lihat di sini, budaya ‘cakap campur’ sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Aku juga tidak lari daripada mencampuradukkan bahasku. Hal ini sudah tidak lagi menjadi perkara aneh malah digunakan dengan berleluasa dengan motif untuk memperkayakan diri dengan bahasa kedua terpenting, iaitu bahasa Inggeris. Memang bagus sekiranya niat untuk menambah pengetahuan dalam bahasa lain, namun bahasa ibunda tidak harus dilupakan terus atau begitu sahaja.

'sumPAh-menYumpah'... menyampaH!!!

Kita dapat lihat sekarang, budaya “menyumpah” semakin berleluasa sama ada berlaku di dalam penulisan blog, lisan antara kawan, dalam institusi keluarga dan banyak lagi. Perkataan kotor yang sering digunakan kerana emosi yang tidak terkawal, atau menulis dalam keadaan marah, geram yang melampau menyebabkan perkataan ‘sumpah’ seperti ‘bodoh, bangang, ngok, tolol, kepala otak, sial, babi, taik, pergi mati, pergi mampus’ dan sebagainya ditulis dan diluah melalui lisan. Tutur bahasa merupakan salah satu faktor yang menampakkan akhlak dan sikap kita kepada masyarakat.

buDaYa 'siNGkAt'

Budaya ‘singkat’ sering berlaku kini. Begitu juga dalam kehidupan aku. Ketika bercakap dengan sahabat baikku, Liza, kami menggunakan kata sapa ‘you’ dan ‘I’. Sekarang sudah menjadi kebiasaan bagi kami berdua. Mula-mula terasa lucu menggunakannya, tetapi sekarang sudah menjadi perkara normal dalam komunikasi kami. Pendek kata, mudah dan ringkas rasanya menggunakan kata tersebut. Kami juga menggunakan perkataan ‘u’ dan ‘i’ dalam teks persanan ringkas. Budaya singkat sama ada melalui penulisan mahupun lisan ini sedikit sebanyak menenggelamkan penggunaan bahasa Melayu standard yang betul kerana sudah menjadi kebiasaan dan amalan.

SeRupA tAPi LAin?

Apabila habisnya cuti semester yang boleh dikatakan agak panjang, seperti kebiasaan, lidahku semestinya berbelit-belit tatkala ingin menuturkan bahasa pertuturan Melayu Johor Riau memandangkan bahasa pertuturan di halamanku adalah bahasa Melayu Sarawak.  Terdapat pengalaman lucu yang aku lalui sepanjang tinggal di bumi Malaya dan tersasul menggunakan perkataan-perkatan yang terdapat dalam Bahasa Melayu dan bahasa Melayu Sarawak yang dieja serupa tapi berlainan maksudnya, misalnya perkataan “burit” (maaf, bukan bermaksud kotor di sini). Di semenanjung, perkataan tersebut merupakan kemaluan bagi perempuan, tetapi dalam bahasa Melayu Sarawak, perkataan “burit” merupakan buntut atau punggung seseorang. Saya tidak dapat melupakan peristiwa di mana saya tiba-tiba melatah dengan mengeluarkan perkataan “burit”. Maka, apabila didengar oleh segelintir orang Melayu di sini, mereka beranggapan sinis dan mengatakan saya berkonotasi “negatif”. Terdapat  juga perkataan lain yang memberi makna yang jauh berbeza dalam bahasa Melayu dan bahasa Melayu Sarawak. Di bawah merupakan contoh-contoh yang ingin saya kongsikan bersama.

Gerek (Kedah) : basikal vs gerek (Melayu Sarawak) : kekasih
Lawa (bahasa Melayu) : cantik vs lawa (Melayu Sarawak) : sombong, berlagak

REvOLUSi

Setelah hampir tiga tahun aku belajar di UPSI. Agaknya, apa yang berubah semenjak melangkahnya aku dari alam semester satu hingga ke semester enam ini? Niat utama ke UPSI sememangnya untuk belajar, dan aku juga belajar satu perkara yang sering membimbangkan aku dan juga mungkin membimbangkan bakal guru yang akan mengajar subjek Bahasa Melayu?
Bahasa ‘kiteorang’, ‘kamuorang’, ‘kamiorang’ memang sering digunakan dalam bahasa percakapan seharian. Semuanya melambangkan ‘orang’. Namun, penggunaan perkataan tersebut juga sering dibawa-bawa dan digunakan oleh pelajar ketika sesi pembentangan. Adakah wajar penggunaan perkataan tersebut digunakan dalam suasana itu? Adakah lebih baik penggunakan perkataan anda, awak, kalian, kami dan kita digunakan dalam situasi tersebut? Renung-renungkanlah dan selamat mengaplikasikannya.