Monday, March 14, 2011

Bahasa juga selalu digunakan untuk meluah rasa

Bahasa yang digunakan dalam luahan perasaan ini kita dapat lihat melalui penulisan blog, status dalam laman sosial, penulisan sajak dan banyak lagi. Bahasa yang digunakan dalam meluahkan rasa mampu membantu kita menghilangkan sedikit rasa marah, geram, rindu, cinta, sedih serta rasa tertekan. Setelah menulis apa yang kita melalui penggunaan bahasa, kita akan merasa sedikit lega dan tenang kerana melalui penulisan kita dapat meringankan sedikit beban yang terpendam di hati. penulisan sajak misalnya:

Sesekali kita perlu menjauh…
Untuk menghanyutkan rindu

Sesekali juga kita perlu melupakan
Agar rasamu dan rasaku
Tidak terukur dengan rindu
Takkan terkubur bersama waktu

Rasanya sesekali
Kita perlu menganyam lagu
Biar hatimu tahu
Bahawa dalam hatiku sentiasa ada nyanyi rindu
Lagu rindu hanya untukkmu

Sesekali aku
Merasakan sebegitu…
Tapi saban waktu…
Hatiku mendamba rindu
Fikirku mendamba dirimu…
Dalam segenap ruang hati ku…
Dalam setiap derap langkah ku…
Dalam deru-deru nafasku…
Sentiasa ingin ku nyatakan…
Aku cinta padamu….
Sajak di atas menunjukkan perasaan penulis yang ingin mengatakan rasa cinta, kasih dan rindunya kepada pasangan yang dia cinta. Luahan rasa melalui penulisan puisi mampu memberitahu orang lain akan rasa kita dan sebagai pengganti kepada luahan perasaan melalui lisan. Secara kesimpulan, bahasa mampu digunakan sama ada secara lisan mahupun tulisan.

Memahami bahasa lain selain bahasa Melayu juga amat penting

Ayahku seorang polis. Jadi, aku tinggal di tempat penempatan para polis. Namun, kin ayahku sudah bersara dan aku berpindah tinggal di kampung halaman. Dahulu, kawasan tempat tinggalku berdekatan dengan banyak kilang yang majoriti pekerjanya berasal dari negara jiran, iaitu Indonesia. Warga Indonesia ini gemar ke Masjid di kawasan tempat tinggalku pada malam Jumaat untuk menunaikan solat berjemaah dan membaca surah Yaasin. Maka, aku juga bercampur dan bergaul dengan mereka. Mereka tidak semuanya tahu bercakap dalam bahasa Melayu, jadi aku perlu memahami satu-persatu perkataan yang diujarkan dari mulut mereka ketika bercakap denganku. Aku menggunakan skemata daripada sinetron Indonesia yang aku selalu lihat dalam televisyen, yang membolehkan aku sedikit mengerti dan menggunakan bahasa mereka dalam percakapan dan kami boleh berkomunikasi dengan baik dan memahami antara satu sama lain. Jadi, dapat aku simpulkan bahawa dengan melihat sinetron Indonesia di dalam televisyen juga mampu mengajar kita memahami bahasa orang lain dan mengaplikasikannya apabila perlu. Dalam agama ada mengatakan, keturunan, pangkat, darjat, harta bukan pengukur kepada amalan kita. Jadi, seharusnya kita berkawan dengan sesiapa sahaja tidak mengira ukuran duniawi apatah lagi kita yang sesama muslim. Wallahualam.

Agama besar pengaruhnya dalam berbahasa


            Seringkali kita mendengar perkataan ‘insya-Allah, masya-Allah, assalamualaikum, astaghfirullahalazim, dan alhamdulillah’ dalam pergaulan atau perbualan. Ini berikutan majoriti daripada rakyat atau penduduk Tanah Melayu, iaitu negara Malaysia terdiri daripada masyarakat Melayu yang beragama Islam. Semenjak Tanah Melayu menerima pengaruh Islam, perkataan Arab digunakan dalam perbuatan dan percakapan seharian. Pengaruh perkataan agama atau bahasa Arab amat besar juga dalam komunikasi kita seluruh rakyat Malaysia, misalnya kawan aku yang bukan beragama Islam juga kadang-kadang menggunakan perkataan seperti alhamdulillah dan ya Allah dalam percakapannya. Hal ini berlaku kerana pergaulannya dengan rakan yang beragama Islam dan dia terikut dengan bahasa rakannya. Maka, bahasa Arab bukan hanya mampu dilafaz oleh orang yang beragama Islam, malah mampu dilafaz dengan baik oleh orang yang bukan beragama Islam. Dapat kita lihat di sini bahawa bahasa kita mampu dipengaruhi oleh orang yang berada di sekeliling kita, terutamanya apabila bersama kawan.

Bahasa melambangkan peribadi atau akhlak


Sememangnya, kita gemar menilai orang melalui penampilan dan apa yang kita nampak iaitu sifat fizikalnya. Namun, melalui bahasa juga kita mampu menilai orang yang bertutur dengan kita. Sekiranya kita berkomunikasi dengan rakan kita, dia menggunakan bahasa yang sopan, maka dapat kita tafsirkan dia seorang yang menjaga adab ketika bercakap dan seorang yang menjaga hati kawannya. Namun, terdapat juga orang yang suka bercakap terus, marah-marah, bernada tinggi dan menggunakan sumpah seranah dalam percakapannya yang mungkin dipengaruhi oleh didikan keluarganya sejak dari kecil. Kita berkawan mengikut keselesaan masing-masing, dan mungkin ada di antara kita yang juga gemar bercakap kasar akan memilih untuk berkawan dengan orang yang bercakap kasar seperti dirinya. Jika aku, aku lebih suka memilih kawan yang pandai menjaga hati dan bercakap secara sederhana dan mempunyai unsur lelucon yang boleh membuatkan aku ketawa. Jadi, dari segi percakapan bahasa juga kita mampu menilai orang dan memilih kawan yang terbaik untuk dijadikan teman. kita juga mampu menilai akhlak yang ada dalam diri orang yang bertutur dengan kita, kerana bahasa yang sopan dan baik menunjukkan akhlak dalaman seseorang itu. wallahualam.

Wahai kaum Hawa


            Selalunya, kaum Hawa adalah golongan yang sukar sekali untuk berhenti bercakap kerana sudah lumrahnya diciptakan sebegitu rupa. Terdapat golongan wanita yang gemar bercakap hal yang tidak penting atau ‘cakap kosong’ yang mengandungi banyak unsur negatif dan rekaan semata-mata kerana terdapat tokok tambah cerita yang meleret-leret. Ada juga antara kaum ini suka menggunakan bahasa dengan tujuan mengumpat dan mengata perihal negatif orang lain. Berbahasa sememangnya tidak ada batasnya bagi kita untuk membicarakan hal positif atau sebaliknya. Jadi kita bebas dalam berbicara. Namun, pada masa yang sama, sekiranya kita banyak atau cenderung menggunakan bahasa ke arah tujuan negatif, akan ada impak yang menimpa kita, bak kata pepatah, ‘Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya’. Jadi, berbahasa bukan sahaja boleh memberi kita ilmu, rasa, hiburan, malah adakalanya jika bahasa itu tiada adabnya, akan menimbulkan pertengkaran, kesalahfahaman, sakit hati, dan bermacam lagi impak negatif sekiranya kita salah menggunakan bahasa. Jadi, khususnya kepada kaum Hawa, awasilah bahasa kita. Jauhilah dosa.
gambar contoh


Bahasa bayi


Kini, aku mempunyai dua kawan rapat yang sudah berkahwin dan menunggu masa untuk melahirkan anak yang berkemungkinan akan keluar pada akhir bulan Mac dan seorang lagi mungkin akan melahirkan anak pada pertengahan bulan April. Moga mereka selamat dan mudah melahirkan anak, amin. Aku hanya ingin membicarakan perihal bahasa bayi. Bayi sememangnya masih tidak tahu berkomunikasi secara sosial dengan melontarkan perkataan iaitu berbahasa. Maka, cara para bayi berbahasa adalah dengan gerak tubuh, menunjukkan emosi, dan bunyi-bunyian yang dihasilkan bagi meminta orang disekelilingnya memahami apa yang dimahukan oleh mereka. Jadi, bayi lebih menunjukkan bahasa emosi mereka untuk meminta sesuatu atau meminta orang di sekelilingnya faham apa yang dimahukan oleh mereka. di awal kelahiran, bayi amat memerlukan sentuhan, belaian dan kasih sayang seorang ibu. Adakalanya, bayi akan menangis apabila mereka lapar, letih, tidak selesa atau sakit. Sekiranya bayi menangis dengan kuat dan keras nadanya, hal ini berkemungkinan bayi tersebut dalam keadaan sakit, misalnya sakit perut atau digigit serangga. Jika bayi tersebut menangis meleret-eret, berkemungkinan bayi tersebut lapar. Sebagai seorang ibu atau bapa, kita harus bijak mengenalpasti dan memahami bahasa bayi dengan baik supaya dapat memberikan keselesaan kepada anak.

Bahasa dan lirik lagu (Wassini: Pengaruh bahasa Arab)

Dahulu, kita selalu mendengar lagu Wassini yang dinyanyi dan dipopularkan oleh artis wanita bertudung litup iaitu Waheeda. Walaupun lagu itu sudah lama, namun bagi aku lagu itu belum lagi basi, yakni belum lagi reda kehangatannya di gegendang telinga pendengar muzik. Lagu ini sangat menarik bukan sahaja dari segi melodi, malah dari segi liriknya. Muzik lagu ini menggunakan rentak padang pasir iaitu rentak alunan lagu Arab dan liriknya adalah dalam bahasa Melayu, namun terdapat juga pengaruh besar bahasa Arab. Wassini di sini bermaksud, nasihati aku. Bahasa di Malaysia ini banyak pengaruhnya, dan bahasa Arab juga diterima dalam menghasilkan seni lagu dalam industri tempatan, iaitu di Malaysia. Bahasa Melayu dan bahasa Arab dalam lagu ini menjadikan lagu ini unik, menarik dan mampu difahami dalam dwibahasa. Lirik lagu tersebut adalah seperti berikut:
Lirik Wassini - Waheeda

Arina maza tara
Hakaza wakaza
Mafi ayadeena

Kemana saja, wassini
Tak kira masa, wassini
Apa pun jua, wassini
Segalanya, wassini

Tak kira siapa, wassini
Tiada sepertinya, wassini
Apa padanya, wassomo
Segalanya, wassini

Intizar ya leil...
Imtihan ya lein....
Intizar ya leil...
Imtihan ya leil...

Lihat dirimu dalam kesamaran cuba berlari
tanpa ada pengertian...tanpa ada pengertian

http://www.liriklagumuzik.co.cc/2009/04/lirik-wassini-waheeda.html#ixzz1Gh9hi4sN

Belajar laras bahasa


Sekiranya kita mengetahui dan bijak menggunakan bahasa mengikut larasnya, kita akan mudah menulis dan berkomnunikasi dalam pelbagai keadaan dan permintaan, misalnya kita diminta untuk membaca berita, maka laras bahasa berita akan kita gunakan dalam penulisan mahupun percakapan. Hari ini, kawanku mengajar mengenai laras bahasa dan dia memfokuskan laras bahasa berita dan kandungan atau isi-isi yang harus ada dalam setiap laras yang diajar iaitu laras bahasa iklan, laras bahasa sukan, laras bahasa berita, laras bahasa sastera dan laras bahasa sains. Aku dan rakan banyak belajar pada masa itu, iaitu dalam laras bahasa sains misalnya, kita akan menggunakan istilah-istilah sains seperti sfera, sperma, ovum, kanser, jantung, paru-paru, eksperimen dan sebagainya. Pengetahuan seperti ini harus juga diketahui oleh guru bahasa Melayu agar input informasi lain juga dapat diserap dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Maka, guru bahasa Melayu dalam pada masa yang sama juga tidak hanya mengajar mengenai bahasa malah mempunyai skemata tentang laras bahasa lain selain bahasa Melayu. Murid juga akan mendapat pengetahuan yang lebih luas daripada guru bahasanya.

Pengaruh bahasanya dalam doa (imam KHAR)

            Tatkala mendengar suara imam surau Kolej Harun Aminurrashid ketika melafazkan doa yang dilafazkan dalam bahasa Melayu, suasana menjadi sayu, sebak dan insaf sekali. Itulah pengaruh bahasa sekiranya kita memahami apa yang dituturkan bagi sama-sama memuhasabah diri dan mendekatkan diri dengan Illahi. Lazimnya, aku mendengar imam tersebut berdoa ketika hari malam iaitu pada waktu maghrib atau Isya’. Sesiapa sahaja yang mendengar lafaz doa yang dilafazkan imam surau tersebut pasti merasa syahdu, pilu dan insaf dengan dosa yang kita pernah lakukan kerana imam tersebut membaca doa dengan sepenuh jiwa dan penuh rasa insaf sehingga menyebabkan orang lain yang berdoa dan mendengar doa tersebut merasa insaf dan merasa mahu bertaubat kepada Tuhan. Orang yang mendengar lafaz doa tersebut juga mampu menitiskan air mata jika memahami isi doa tersebut di samping merasa berdosa dan ingin bertaubat. Maka, jelaslah bahasa mampu menarik hati orang dan memberi rasa yang pelbagai. Bahasa dapat digunakan bagi tujuan beribadah dan membawa khalifah Allah di muka bumi ini ke jalan yang benar, insya-Allah.

Penggunaan bahasa mengikut pangkat dan umur


Seringkali kita menggunakan bahasa mengikut pangkat dan umur semasa bergaul dengan orang di sekeliling kita. Di kampus misalnya, kita akan berjumpa, bersemuka dan bertutur dengan pensyarah yang berbeza gelaran, pangkat, jawatan dan berbeza jugalah panggilannya. Sekiranya pensyarah tersebut bergelar profesor misalnya, kita haruslah memanggilnya dengan gelaran tersebut. Namun, bukan mudah bagi kita mengingat atau mengenali pensyarah-pensyarah walaupun hanya di Jabatan Bahasa dan Komunikasi kerana bukan semua pensyarah pernah mengajar kami, sebagai pelajar. Pada masa yang sama, pensyarah yang tidak pernah mengajar ada juga fungsinya kepada pelajar misalnya menjadi penyelia atau berurusan dengan kami apabila meminta pengesahan atau penasihat untuk sesuatu aktiviti. Kadang-kadang terdapat juga masalah dalam memanggil pensyarah dengan gelaran yang sebetulnya, misalnya seorang pensyarah yang bercerita bahawa beliau pernah dipanggil dengan panggilan pak cik dan atuk oleh pelajar kerana pelajar tersebut menyangka pensyarah tersebut hanyalah seorang pak cik biasa sahaja.
            Aku seringkali juga menemui mak cik yang berkerja sebagai pembersih kolej sebelum aku pergi ke kelas. Pada setiap pagi itu juga, aku gemar menyapa mereka dengan panggilan mak cik, ‘aunty’ sebagai tanda aku menghargai kehadiran mereka. kita harus berbahasa bukan sahaja pada orang yang berpangka, berdarjat atau bergelar hebat sahaja, malah orang seperti mak cik tersebut harus disapa dan dilayan sama sahaja seperti orang lain. Untuk ingatan kepada diriku sendiri dan juga orang lain, berbahasalah dengan tidak mengenal usia, pangkat, darjat, atau kedudukan di dunia, kerna semua hamba Tuhan adalah sama sahaja.

Bahasa dalam laman sosial

Apabila melayari internet lazimnya di laman sosial “Facebook”, kita dapat melihat pelbagai jenis bahasa dan simbol bahasa yang ditulis dan diletakkan sebagai status laman sosial yang boleh memeningkan kepala dan ada juga yang menarik perhatian kita. Memandangkan orangnya ramai, maka ragamnya pun banyak. Jadi, tidak hairanlah penggunaan bahasa yang bervariasi digunakan dengan niat yang tertentu seperti untuk mendapat perhatian dan bermacam-macam lagi sebabnya. Antara contoh status yang kita dapat lihat, misalnya :
::sALAm:: Cikgu Naza Zaza Qrizloe Arora Albie PeiPei Fariz Yusoff Fawiz Bakri hantar isi dialek anda kpd saya, cgu atulsukacintabebehgele2 d : shukachinta@gmail.com ya, selewat-lewatnya rabu ini. TK. kita sama2 serabut. i LOP uuu... uuu LOP me? ahaa... ::sHukacHinta::
Contoh di atas merupakan status aku sendiri yang memperlihatkan pelbagai simbol dan perkataan-perkataan singkat yang mengandungi pengaruh bahasa Inggeris. Di laman sosial, kita sebagai pengguna agak bebas menggunakan bahasa kita sendiri. Namun, dalam masa yang sama, melalui laman sosial ini banyak pengaruh negatif juga boleh berlaku jika tidak bijak atau tidak beradab dalam berbahasa sekiranya kita menggunakan laman sosial ini ke arah niat yang negatif. Maka, gunakanlah laman sosial yang ada sebaiknya untuk tujuan positif dan gunakanlah bahasa dan simbol yang beradab dalam menggunakannya.

Jadikan pensyarah kita sebagai model bahasa

Mahasiswa-mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris atau lebih dikenali sebagai UPSI khususnya pelajar yang mengambil jurusan bahasa, pastinya akan berhati-hati berbicara dengan pensyarah bahasanya apalagi bersemuka dengan pensyarah yang sememangnya mengambil berat akan aspek bahasa dalam pertuturan mahupun penulisan. Pada semester ini misalnya, pelajar ambilan 2008/2009 semester pertama yang mengambil subjek Karya Agung di bawah didikan Profesor Emeritus Abdullah Hassan amat berhati-hati bukan sahaja dalam berbahasa, malah membunyikan bahasa. Penggunaan tatabahasa dan aspek fonologi Melayu tulen haruslah diambil berat oleh kami sebagai pelajar agar dapat mengajar anak bangsa dengan sebaiknya apabila sudah menjadi seorang guru kelak. Banyak perkara yang dapat kami sebagai pelajar belajar daripada beliau di dalam kuliah walaupun cara beliau mengajar tidaklah begitu berat dan amat bersahaja. Aku juga belajar bermacam-macam perkara iaitu misalnya kita sebagai orang yang bercakap tidak semestinya memerlukan pergerakan yang banyak atau melampau ketika bercakap supaya orang tidak meluat dengan cara kita mengajar atau bercakap. Sebaiknya, kita bersederhana dalam segala perbuatan dan seperti yang telah kita ketahui, lain orang, lain pula penerimaannya kerana setiap orang mempunyai kehendak yang berbeza-beza. Maka, sebagai seorang pelajar yang bakal menjadi seorang pendidik kelak haruslah belajar berbahasa sebaiknya bermula dari sekarang supaya dapat mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna, insya-Allah. Jadikan pensyarah anda sebagai model dalam berbahasa.

Ayahku sangat bijak berbahasa dalam bicaranya (Aku kagum)


Memandangkan hanya melalui telefon aku mampu berhubung dengan ayahku, jadi bicaranya hanya ku dengar dalam corong radio sahaja. Setiap kali ayah berbicara, pasti ada pesanan yang gemar atau tidak akan ditinggalkannya bagi meluah rasanya dan harapannya. Ayah selalu mengingatkan aku bahawa selalu ingat Allah dan sebelum mengakhiri perbualan kami di telefon, ayah pasti akan mengatakan bahawa dia sangat mencintai aku, “i love you very very much,” seraya aku membalas kata-kata itu juga, “i love you very very much too”. Walaupun bahasa yang kami gunakan adalah bahasa Melayu Sarawak, ayah dan aku tidak ketinggalan menggunakan bahasa pertuturan lain seperti bahasa Inggeris. Aku tahu, bahasa Melayu harus dimartabatkan, tetapi aku ingat pesan ayah, ilmu itu luas, dan hukumnya wajib untuk dipelajari. Maka, kita tidak salah mempelajari dan mengaplikasikan bahasa lain selain bahasa Melayu untuk kehidupan seharian tetapi dalam masa yang sama, tidak mengetepikan bahasa ibunda kita, bahasa Melayu.

Bahasa cintaku


Sesiapa pun di dunia ini ingin dicintai dan mencintai. Bahasa aku tersebut sudah menampakkan penggunaan bahasa cinta. Namun, tiada siapa yang dapat melawan cinta yang suci dan abadi serta terpuji iaitu cinta kita kepada Illahi. Skop cinta yang luas dan dapat dibahagi-bahagi menyebabkan kita menyayangi keluarga, kawan dan kekasih hati. Bahasa cinta kita kepada Allah, misalnya lazim berlaku tatkala kita bermunajat dan berdoa kepada-Nya. Cinta kita kepada Allah menuntut kita untuk memperbaiki akhlak dan amalan serta niat kita yang sentiasa menuju ke jalan kebenaran yang diredhai-Nya. Maka, semestinya kita selalu berdoa agar Allah sentiasa meletakkan kita pada tempat yang sewajarnya dan menjauhkan kita daripada larangan-Nya. Bahasa cinta kita kepada ibu bapa dapat dilihat apabila kita menggunakan bahasa yang hormat apabila bercakap dengannya, memanggil gelaran mak dan ayah, menuruti suruhan dengan berkomunikasi dengan sopan dan beradab serta mengatakan rasa cinta dan sayang kepadanya sebagai tanda menghargai cinta dan kasih juga pengorbanan mereka selama kita hidup. Selain itu, kita juga mempunyai bahasa bersama kekasih hati, misalnya dengan panggilan sayang, bagi menyatakan dialah orang yang kita sayang. Jadi, bahasa cinta adalah pelbagai mengikut insan-insan yang kita cinta. Bercintalah seadanya dan sentiasa mengutamakan cinta yang utama iaitu cinta kita kepada yang Maha Esa.

Pengaruh bahasa dalam filem amat berkesan

Baru-baru ini, aku sangat suka dan minat dengan filem seram terbaru arahan pengarah filem tempatan, saudara Mamat Khalid dengan filemnya “Hantu Kak Limah balik rumah”. Walaupun cerita tersebut berunsur seram, namun terdapat unsur jenaka yang sangat menggelikan hati. Aku memang penggemar cerita lawak dan susah untuk berhenti gelak atau ketawa. Dalam filem tersebut, terdapat beberapa perkataan atau “trademark” yang menjadi sumber kuat atau pengaruh besar dalam filem ini. Murid-murid sekolah, mahasiswa, cikgu dan pensyarah juga tidak ketinggalan menggunakan perkataan yang terdapat dalam filem tersebut untuk sumber lelucon di dalam kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Antara perkataan yang terdapat dalam filem tersebut ialah ‘pelawok-pelawok’ yang dipercayai untuk memanggil roh hantu, ‘keh keh keh’ pula perkataan yang digunakan untuk menghalau hantu. Selain itu juga, perkataan ‘cube ceriter’ juga digunakan secara kerap dan perkataan ini sering dijadikan bahan mainan di dalam kuliah. Aku juga baharu mengetahui sesuatu yang baru apabila pelakon dalam filem ini ada menyebut perkataan ‘hantu kopek’. Mula-mula, aku tidak mengetahui maksud perkataan itu sedangkan orang lain sakan ketawa. Selepas bertanya dengan kawanku, Liza yang berasal dari Perak, baharulah aku mengetahui maksud perkataan tersebut. Jadi, jelas di sini bahawa unsur yang terdapat dalam filem sememangnya memberi pengaruh besar kepada masyarakat dalam pergaulan sehariannya. Berbahasalah sebaik mungkin, insya-Allah.

Sunday, March 13, 2011

Bahasa menyatukan kami (Liza, Pei, Kris, B)


Bahasa Melayu merupakan bahasa pergaulan antara aku dan kawan-kawanku, Liza yang berasal dari Perak, Lee Pei yang berasal dari Kuching, Kris yang berasal dari Kapit dan Magdelyner Grace yang berasal dari Sibu. Kami rakan sekelas yang gemar duduk bersama dan selalu ke mana-mana dan membuat tugasan bersama-sama. Walaupun kami berasal dari negeri dan daerah yang berlainan, kami mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dengan berbahasa Melayu. Kami juga berbeza kaum dan agama dan hal itu tidak menjadi masalah untuk kami bermesra dan jelas di sini bahawa bahasa Melayu menjadi salah satu faktor kami dapat bersama.

Berbahasa, bukanlah mengikut sedap bunyi sahaja

Bahasa yang sopan dan beradab bukanlah bahasa yang dipertuturkan secara sedap bunyinya sahaja. Dalam pertuturan, bahasa yang ingin dibicarakan haruslah diteliti terlebih dahulu impaknya kepada orang yang mendengar bicara kita. Bahasa yang sopan  tidak semestinya mempunyai bunyi yang sedap ketika ditutur dan kita berbahasa bukan mengikut sedap bunyi ketika kita menutur bahasa, misalnya ‘mangkok hayun’. Walaupun perkataan tersebut sedap dilafaz keluar daripada mulut, namun, perkataan tersebut berkonotasi kasar dan tidak elok. Jadi, berbahasalah sebaiknya dan pilihlah bahasa yang sopan dalam pergaulan agar hidup kita sentiasa disenangi rakan taulan.

Saturday, March 12, 2011

Tiada gunanya jika memiliki paras rupa yang cantik, tetapi tidak beradab berbahasa

Hidup tidak akan sempurna dengan hanya berbekalkan atau mempunyai rupa paras yang cantik, kacak dan sempurna. Jika kita mempunyai rupa paras yang kacak dan cantik, tidak memadai sekiranya kita tidak bijak dan mempunyai adab dalam berbahasa. Rupa dan paras tidak mampu menjamin kehidupan yang sempurna kerana masyarakat yang hidup di dunia ini bukan sekadar melihat rupa fizikal malah menilai dan senang bergaul dengan orang yang bijak dan mempunyai adab dalam berbahasa. Jadi, tiada gunanya mempunyai rupa paras atau fizikal yang cantik dan menarik jika biadap dalam berbahasa. Orang lebih menyenangi kita sekiranya kita memiliki bahasa yang sopan dalam pergaulan dan kita mudah menjalani hidup sesama masyarakat agar dapat membina perpaduan erat.


Jika berbahasa Melayu, tuturlah seperti bunyi keMelayuan

Profesor Abdullah Hassan ada juga menegur pelajarnya supaya, jika bertutur bahasa Melayu, bunyinya juga haruslah bunyi Melayu, bukan bunyi bertutur bahasa Cina atau bunyi yang lainnya. Perkara ini menunjukkan lambang atau budaya Melayu yang menjadi bahasa Kebangsaan dan sebagai warganegara Malaysia, kita harus menghormati dan berusaha untuk mencintai negara kita dengan berbahasa dengan betul dan baik.

Elakkan dan latihkan diri berbahasa dengan bahasa Melayu sepenuhnya

Situasi ini berlaku ketika mendengar nasihat dan teguran Profesor Emeritus Abdullah Hassan yang mengajar subjek Karya Agung pada sem ini. setiap kali pelajarnya membentang, bersiap sedialah untuk dikritik dari segi penggunaan bahasa. Penggunaan perkataan ‘ok’ adalah perkara yang paling kerap dilakukan oleh pelajar. Beliau mahu pelajarnya menggunakan perkataan ‘baiklah’ bagi menggantikan perkataan ‘ok’ kerana kami mempelajari bahasa Melayu bukan bahasa Inggeris. Maka, walaupun sudah terbiasa menggunakan perkataan ‘ok’, kami sebagai pelajar perlu berusaha mengubah dan berlatih untuk menggunakan bahasa dengan betul, yakni menggunakan kosa kata Melayu dalam bertutur khususnya dalam kuliah supaya dapat menjadi guru bahasa Melayu yang sememangnya menggunakan bahasa Melayu tulen dalam pengajaran dan pembelajarannya kelak. Hal ini menjadi ikutan dan guru sebagi model kepada anak-anak muridnya.

Monday, March 7, 2011

Bahasa isyarat bukan sahaja memberi makna tetapi juga memberi rasa

Kejadian ini berlaku ketika aku pergi ke Kuala Lumpur. Aku singgah sebentar di persinggahan paling digemari ramai iaitu KFC. Aku sekadar mahu mengalas perut yang sedikit lapar bersama rakan-rakan yang membuat kajian mengenai modal insan dalam kalangan insan buta di Persatuan Orang Buta Malaysia. Ketika enak menjamu selera di hujung sudut ruang KFC, kami didatangi oleh seorang insan yang agak istimewa, insan yang tidak mempunyai suara, yakni bisu... Dia datang dengan hajat untuk menjual hasil kraftangan yang dibuat dirinya sendiri iaitu berupa ‘keychain’ berbentuk hati. Pelbagai jenis ‘keychain’ yang dikeluarkannya dari dalam beg galasnya. Insan istimewa tersebut menggunakan bahasa isyarat atau simbol yang senang difahami oleh aku dan rakan untuk menjual kraftangannya. Aku melihat dengan penuh minat ‘keychai’ tersebut kerana kasihan dan mengagumi hasil karya insan sepertinya. Aku tahu semua rakan nampaknya berat hati untuk membeli ‘keychain’ tersebut kerana ‘keychain’ tersebut berharga RM10 untuk satu berbanding dengan harga ‘keychain’ lain yang dijual di pasaran hanya berharga RM2 hingga RM5 paling murah. Rasa kasihanku lebih tebal dan banyak berbanding dengan rasa berat hatiku kerana harganya, maka aku tidak teragak-agak untuk membeli ‘keychain’ tersebut dengan harga RM10 tunai. Melihat wajah si istimewa tersenyum, aku lebih rasa bahagia. insyaAllah, aku ikhlas... heehee J Pengajarannya di sini, mereka yang istimewa di luar sana walaupun serba serbi kekurangan, namun mereka tetap berusaha menjalani hidup dengan sebaiknya walaupun dengan sedaya upaya menggunakan bahasa isyarat untuk memberi makna kepada masyarakat sekelilingnya. Moga mereka sentiasa beroleh rezeki yang halal senantiasa, amin.

Saturday, March 5, 2011

Bahasa pak ‘driver (pemandu bas UPSI)

Al-maklum, seperti biasa, mahasiswa UPSI akan ke pasar malam pada hari Sabtu, begitu juga aku. Namun, apakah malang pada hari Sabtu tersebut, terdapat peristiwa malu disebabkan oleh seorang yang ku gelar, pak cik bas. Aku bersama kawan, membawa segelas air dan kentang gorang di tangan. Ketika baru sahaja melangkak masuk naik tangga bas, pak cik dengan kasarnya mengatakan ‘keluar!’ ‘keluar!’ ‘keluar!’ kerana tidak membenarkan kami membawa minuman dan makanan masuk ke dalam bas. Aku tahu, pak cik tersebut khuatir dan berpendapat makanan dan minuman kami akan tumpah atau sampahnya akan dibuang di dalam bas tersebut akan mengotorkan bas yang dipandunya. Namun, cara pak cik tersebut menghalau dan berbahasa sebegitu rupa menyebabkan aku trauma dengan keadaan tersebut. Tidak adakah lagi, bahasa lembut yang boleh digunakan untuk tidak mengizinkan kami untuk memasuki bas tersebut? Atau bahasa Melayu sudah ketandusan kata-kata yang halus bak orang-orang dahulu. Bukankan orang-orang dahulu membiasakan diri dengan bahasa yang indah, dan menjaga hati orang? Bukankan pak cik tersebut juga merupakan salah seorang daripada golongan orang lama-lama dahulu? Mungkin kegagalan mengawal emosi dan rasa amarah yang tidak tertanggung menyebabkan manusia selalu hilang punca. Moga pakcik sentiasa bahagia, doaku...

Sukar benar melafazkan kata maaf dan terima kasih

Hidup manusia di dunia adalah saling bergentungan, memerlukan antara satu sama lain. Di mana sahaja, kita akan berjumpa dengan orang sekeliling dan bergaul sesama mereka. Maka, terdapatlah aktiviti bantu-membantu, tolong-menolong, berkomunikasi, salah faham, dan banyak lagi aktiviti yang dilakukan. Maka, seharusnya kita sebagai manusia yang tahu erti salah dan menghargai, menggunakan lafaz ‘maaf’ dan ‘terima kasih’ sebaiknya. Namun, terdapat juga manusia di dunia ini berat benar mulutnya melafazkan kata ‘maaf’ dan ‘terima kasih’ tersebut sekiranya telah dibantu atau telah melakukan kesalahan yang disedari. Terdapat satu cerita yang aku baharu dengar daripada mulut kawanku sendiri. Kawanku itu seorang jurujual di sebuah kedai runcit, jadi pelbagai karenah pelanggan yang ditemuinya setiap hari. Menurut ceritanya, terdapat seorang pelanggan telah membeli barang, tetapi barang yang dipegang tersebut terpelanting terkena kepalanya. Pelanggan tersebut langsung tidak melafazkan kata maaf malah membuat keadaan seperti biasa sahaja seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Menagapakah perkara sedemikian semakin menular di negara kita? Adakah kerana sifat moral dan nilai murni atau pegangan agama yang lemah dalam kalangan kita? Renung-renungkanlah dan selamat beramal..


Bahasa sastera

Ku sendiri
Melayani sepi
Sepiku sendiri
Menyelami isi hati
Merindui
Lalunya hari-hari

Contoh di atas merupakan karya puisi. Pada pendapat aku, sastera menggunakan bahasa dengan bebas tetapi tetap gramatis seperti bahasa Melayu. Bahasa sastera merangkumi bahasa yang puitis dan kadang-kadang terbabas juga daripada landasan aspek tatabahasa Melayu. Karya sastera misalnya dalam puisi, menggunakan bahasa dan konsep yang bebas tetapi memiliki mesej tertentu yang ingin disampaikan oleh penulis di samping menerap unsur-unsur atau nilai-nilai murni yang terdapat di dalamnya. Maka, terdapat perbezaan di antara konsep bahasa Melayu dan konsep bahasa sastera. Semestinya, bahasa Melayu mementingkan ketertibannya dalam tatabahasa manakala bahasa sastera lebih bebas penggunaannya.

Kerana EMOSI

Manusia tidak akan pernah lari daripada melakukan kekhilafan. Itulah aku, manusia yang sering kalah dengan emosi yang sering bermaharajalela tak mengira masa. Aku yang sering meluka hati sesiapa dengan rasa yang salah. Selalu juga, aku gagal mengawal emosi dan bukan sekali malah berkali-kali sehingga orang muak dengan sikapku. Jadi, aku merasakan dengan gagal mengawal emosi, akan mempengaruhi bahasa yang kita bakal tuturkan. Aku masih ingat, aku menggunakan kata yang agak kasar dan dengan nada yang agak tinggi dan dalam nada sindiran meluahkan marah dengan orang. Seringkali. Aku merasakan aku manusia yang sering gagal mengawal emosi dan biadab dengan bahasa. Aku mahu juga berubah dan cuba untuk mengawal emosi dan beradab berbahasa, tetapi mungkin setakat ini masih juga gagal. Jadi, doaku dan harapanku, emosi harus dikawal sebijaknya agar bahasa yang kita gunakan masih dalam tahap kawalan dan bernada halus dan tidak akan menyakitkan hati orang lain. Hal sebegini harus dititikberatkan agar perhubungan kita sesama manusia sentiasa terpelihara. Insya-Allah, amin...


Seringkali lupa yang utama kerana yang kedua?

SALAM...
Kita sebagai khalifah di muka bumi sering diduga dengan pelbagai cubaan sama ada dalam bahagia atau sedih. Segalanya adalah cubaan daripada Tuhan. Namun, sebagai hamba, kita harus sentiasa dekat dengan Tuhan dan bersyukur dengan-Nya dengan segala nikmat. Baru-baru ini aku melihat satu pertandingan budaya tarian dan aku salah seorang yang membuat persembahan pada malam itu. Satu perkara yang aku baru sedara dan sangat lupa untuk dibuat sebelum membuat apa sahaja persembahan adalah membaca kalimat al-Fatihah dan berselawat. Tabiat atau amalan aku yang selalu aku buat sebelum membuat persembahan telah aku tinggalkan pada malam tersebut. Aku tidak tahu mengapa dan apa sebabnya aku terlupa. Dari segi kesopanan berbahasa pada majlis tersebut dapat dilihat sewaktu anugerah pemenang pertandingan tersebut diumumkan. Seharusnya, rasa gembira di atas kemenangan dilafaz dengan kata syukur alhamdulillah, tapi sebaliknya lafaz ‘hooreyyy’, ‘yahuuuu’, ‘huuuu’ disorakkan kerna bahagia dengan kemenangan yang diperoleh. Namun, kita sebagai manusia tidak harus lupa akan siapa yang memberi kemenangan dan rezeki itu melainkan Dia, Allah yang maha kuasa. Lafaz sorak ‘hooray’ seperti tersebut tidak salah dilafazkan, tetapi utamakan tutur atau lafaz, syukur alhamdulillah sebagai tanda terima kasih kita kepada Tuhan terlebih dahulu kerana memberi nikmat kurnia. Kejayaan tidak datang bergolek begitu sahaja. Wassalam. Utamakan yang utama!