Friday, February 18, 2011

'IntOnasi juga menjadi faktor bahasa itu berkonotasi sopan atau kasar...'

Bagi orang yang kuat menggunakan deria rasa sepertiku, dengan kata lain sensitif dengan perkataan yang dimuntahkan dari mulut orang, aku dengan yakin mengatakan intonasi seseorang itu dalam bicaranya mendatangkan konotasi negatif atau positif. Nada yang tinggi atau simbol seru (!) serta ayat yang mempunyai perkataan yang berkonotasi negatif dan kasar selalunya digunakan oleh orang yang berada dalam keadaan geram dan marah. Manakala, sebaliknya digunakan oleh orang yang bersopan dalam tutur bicaranya. Namun, kita mengetahui bahawa sifat manusia yang punya pelbagai rasa dan tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan dek tidak mampu menahan dan mengawal emosi khususnya emosi marah dan geram. Jadi, sekiranya orang yang mudah terasa hati seperti aku, segala simbol, nada dan susunan ayat itu amat mempengaruhi emosi aku yang menerima ayat bicara yang orang lemparkan atau orang bicarakan, misalnya ayat berikut:

Kawan: Atul, kau kenapa? (nada tinggi)

Sememangnya, banyak tafsiran yang kita dapat melalui ayat yang ditanyakan di atas kerana cara seseorang itu berbicara selalunya dipengaruhi faktor keluarga dan negeri. Jadi, terpulang pada si empunya diri, iaitu orang yang menerima mesej yang mentafsirnya mengikut pengetahuannya mengenai kawannya itu mahupun merasa perasaan itu sendiri. Sekiranya niat kawan kita tersebut bukanlah untuk berkasar, kita sendiri harus bijak memahami dirinya dan mengawal rasa kita sendiri. Namun, aku tahu, bukan semua orang dapat menerima sesuatu yang mereka rasakan tidak harus atau tidak patut demikian. Maka, sama-samalah kita bermuhasabah agar tidak sesekali sengaja menyakiti hati orang lain dan bersopan dalam berbahasa.

No comments:

Post a Comment